Rabu, 13 Februari 2019 | 11:54am
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Dungun-Bukit Besi, Kampung Padang Pulut, pagi tadi. - Foto Rosli Ilham

Pelajar maut motosikal rempuh kereta

DUNGUN: Seorang pelajar maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 23, Jalan Dungun-Bukit Besi, Kampung Padang Pulut di Dungun, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7 pagi, Muhammad Haziq Irfan Ismail, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan muka.

Ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut itu dalam perjalanan ke sekolah dari rumahnya di Kampung Wa, di sini.

Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita dikatakan memasuki sebuah simpang tiga di situ.

Pada masa sama, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh kereta berkenaan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 10 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, pemandu Perodua Viva, Rosnani Yusof, 54, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di kampung sama selepas menghantar anak ke sekolah.

“Ketika memasuki simpang, saya tidak perasan motosikal itu berada di depan kerana keadaan jalan masih gelap.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak tetapi saya tidak berani mendekati mangsa kerana takut.

“Saya tidak putus-putus berdoa agar mangsa selamat namun sedih apabila orang ramai memaklumkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kita sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

1556 dibaca
Berita Harian X