Rabu, 13 Februari 2019 | 9:05am
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Hadi Awang. - Foto Imran Makhzan

Dana RM90 juta: PAS tunggu hasil siasatan - Hadi

MARANG: PAS yakin segala dokumen termasuk akaun bank parti itu serta rakaman audio yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan membuktikan dakwaan ia menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak benar.

Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang, berkata parti itu kini menunggu hasil siasatan SPRM, selepas ia menyerahkan segala dokumen dan siasatan terhadap rakaman audio membabitkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

“SPRM sudah berjumpa dengan Nik Mohamad Abduh dan Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan dan kita dah beri segala kenyataan perlu yang diminta.

“Apa yang saya dimaklumkan, rakaman audio itu tak berkait dengan dana RM90 juta itu. Apa lagi tuduhan PAS terima RM90 juta daripada UMNO dan 1MDB.

“Kita sudah beri kerjasama penuh dan kita tunggulah apa keputusannya,” katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama komuniti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Hadi berkata, rakaman audio itu lebih kepada perbincangan akademik mengenai bantuan dan sumbangan yang mahu diterima PAS terutama pada musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya tak dengar rakaman itu tetapi saya dimaklumkan ia lebih kepada perbincangan akademik, perbincangan daripada segi ilmu (mengenai) boleh atau tidak kita terima bantuan orang ini, bantuan orang itu.

“Macam orang berniagalah. Orang datang beli di kedai dia, tak wajib dia tanya mana awak ambil duit nak beli barang saya. Apabila orang beli barang kita berilah.

“Dalam kes ini, PAS beri nombor akaun. Siapa-siapa boleh masuk derma dan banyak orang derma termasuklah ketika PRU-14 lalu, termasuk orang Cina, bukan Islam datang menderma.

“Jadi kita tak tanya apa parti politik dia (penyumbang). PAS dapat sumbangan daripada orang ramai dan kita beri segala kenyataan (kepada SPRM), termasuk yang derma RM10, RM5. Kita beri semua kenyataan itu untuk siasat,” katanya.

Ditanya mengenai Nik Mohamad Abduh yang sebelum ini menafikan rakaman audio itu adalah suaranya dan kini mengakuinya pula, Hadi berkata, ia terpulang pada Nik Mohamad Abduh yang lebih memahami jawapan diberikannya.

Hadi juga mengulangi gesaannya supaya SPRM turut menyiasat sumber dana pembiayaan parti politik lain terutama DAP, AMANAH dan PKR.

“Kita minta supaya siasat DAP. Siasat AMANAH, PKR, dari mana mereka dapat duit, jangan siasat PAS saja. Saya dimaklumkan Pemuda PAS dah buat laporan polis mengenai dana pembiayaan DAP dan AMANAH dan kita harap SPRM akan siasat,” katanya.

Pada tahun lalu, nama Nik Abduh mula dikaitkan dengan rakaman audio yang didakwa suara Ahli Parlimen Bachok itu, tersebar membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan berkenaan dan menganggap sebagai fitnah.

Nik Abduh antara empat individu dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin PAS yang didakwa menerima RM90 juta dikatakan daripada 1MDB, memberi keterangan kepada SPRM, Jumaat lalu.

Berita Harian X