Selasa, 12 Februari 2019 | 6:37pm
PEGAWAI Perubatan yang juga pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman (dua dari kiri) memberi penjelasan ketika lawatan ke tapak lokasi insiden berhadapan kuil Sri Maha Mariamman bagi inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim. - NSTP/Sairien Nafis

Saksi tidak sedar Adib hilang dalam rusuhan

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa ‘kehilangan’ anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim hanya disedari selepas van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan jentera Fire Rescue Tender (FRT) tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Pegawai Perubatan yang juga pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman, berkata sejurus tiba di pondok pengawal IPD Subang Jaya, beliau keluar dari van EMRS untuk melihat kerosakan kenderaan itu tetapi secara tiba-tiba anggota pemadaman bernama Hazim muncul dari belakang van.

Beliau berkata, dia kemudian bertanya dengan Hazim: “Adib mana Adib?,” dan Hazim menjawab “tak tahu.”

Katanya, lebih kurang seminit di situ jentera FRT tiba di balai polis. Ketika pegawai FRT membuat panggilan baris (roll-call) untuk semakan keanggotaan beliau beranggapan Muhammad Adib berjaya masuk ke dalam FRT ketika rusuhan berlaku.

“Namun malangnya tiada. Kemudian saya menghubungi telefon bimbit Adib tetapi panggilan itu dijawab orang awam dan memberitahu bahawa Adib dalam perjalanan ke SJMC.

“Laporan polis tidak dapat dibuat di IPD Subang kerana masalah sistem jadi kami ke SJMC. Dari sana saya bersama penyelia, Encik Badrul ke balai polis USJ 17.

“Selepas membuat laporan kami ke SJMC semula. Tetapi IPD Subang Jaya menghantar anggota polis ke lokasi kejadian untuk mencari Adib,” katanya.

Ketika di IPD Subang Jaya, Ahmad Shahril juga melihat keadaan van EMRS yang mengalami kerosakan teruk antaranya tayar belakang kiri pecah hanya tinggal rim, pintu sisi van sebelah kiri tercabut dan cermin sisi belakang pecah membuatkannya terkejut.

Ini kerana katanya, sepanjang perjalanan ke IPD Subang Jaya beliau tidak perasan semua itu tetapi dapat rasa ketidakselesaan ketika memandu.

“Selain rosak teruk saya juga terjumpa beberapa helmet berwarna merah dan kelabu di dalam van EMRS.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ketika itu. Takut sangat dan rasa nak mati,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah.

Terdahulu, Ahmad Shahril berkata di tempat kejadian beliau melihat sekumpulan kira-kira 50 orang menyerbu jentera FRT yang berada di hadapan van EMRS yang dipandunya.

Beliau berkata, jentera FRT tiba-tiba mengundur ke belakang dan melanggar van ERMS, kenderaan (van) itu berpusing ke kiri kemudian bergesel sebelah kiri FRT sebelum tersekat.

Beliau berkata, walaupun cuba ke depan keadaan sempit itu tidak membolehkan van EMRS bergerak kerana jentera FRT masih mengundur.

Ahmad Shahril kemudian menekan pedal minyak dan akhirnya berjaya keluar dari sekatan dan terus menuju ke IPD Subang Jaya.

“Sepanjang insiden itu iaitu dari FRT mengundur dan menghimpit van EMRS sehingga berpusing saya langsung tidak nampak kelibat Adib dan tidak mendengar suara Adib. Hanya kedengaran suara riuh-rendah saja,” katanya.

Ahmad Shahril, 36, juga menunjukkan kronologi bagaimana jentera FRT mengundur sehingga menyebabkan van EMRS berpusing kurang dari 50 saat dengan menggunakan jentera dan kereta mainan kepada mahkamah.

Beliau adalah saksi ketiga dalam inkues kematian Muhammad Adib yang didengari di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, bermula semalam.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Prosiding bersambung esok.

Berita Harian X