Selasa, 12 Februari 2019 | 6:02pm
Foto hiasan.

Guru direman bantu siasatan serangan seksual

AYER KEROH: Seorang guru lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Ayer Keroh di sini, hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai melakukan serangan seksual fizikal ke atas pelajar perempuannya.

Kejadian dikatakan berlaku apabila lelaki berkenaan, yang mengajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan, membawa remaja perempuan berusia 16 tahun itu bercuti ke Melaka pada 2 November tahun lalu.

Tindakan remaja berkenaan yang keluar bermalam di hotel bersama gurunya itu dikatakan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Difahamkan, ketika kedua-duanya keluar bersiar-siar di bandar raya ini pada hari berikutnya, mereka terserempak dengan seorang guru dari sekolah sama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata lelaki berusia 59 tahun itu ditahan petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, bagi dirakamkan keterangan.

“Dia kini direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.

Berita Harian X