Selasa, 12 Februari 2019 | 1:00pm
NAJIB keluar dari Mahkamah Tinggi hari ini selepas mendengar sebutan kes tujuh pertuduhan yang dihadapinya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. - Foto BERNAMA

Kes Najib: Pendakwaan akan mohon rayuan dipercepatkan

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan memohon supaya Mahkamah Rayuan mempercepatkan pendengaran rayuan Datuk Seri Najib Razak berhubung tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Peguam Negara, Tommy Thomas memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini, Jabatan Peguam Negara sehubungan itu akan menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop berhubung perkara itu.

Thomas berkata, ini bagi membolehkan perbicaraan kes jenayah itu boleh didengar selepas 22 Februari ini.

“Kami memohon supaya perbicaraan yang sudah ditetapkan hari ini dilapangkan, tetapi tarikh bicara pada 25 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac dikekalkan.

“Ini kerana kami yakin bahawa rayuan oleh tertuduh di Mahkamah Rayuan boleh diputuskan sebelum tarikh itu (25 Februari).

“Kami tidak mahu melengah-lengahkan perbicaraan ini...Pihak kami juga memohon satu tarikh sebutan terdekat bagi mengemaskini perkembangan rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan pada 22 Februari ini untuk pengurusan kes lanjut.

Thomas berkata demikian selepas memaklumkan keputusan kes Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan Najib menangguhkan sementara perbicaraan tuduhan jenayah dihadapinya sehingga rayuannya diputuskan.

Najib memfaikan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kesnya pada 8 Februari lalu bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan persoalan sama ada pihak pendakwaan boleh menarik balik sijil pindah kes itu bagi tujuh tuduhan berkenaan, sebelum perbicaraan kesnya bermula.

Sehari sebelum itu, Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik sijil pindahan kes bagi tujuh tuduhan membabitkan dana SRC International Sd Bhd dihadapi Najib.

Hakim itu kemudian menggunakan budi bicaranya supaya tuduhan itu terus didengar di Mahkamah Tinggi dengan alasan antaranya, ia tidak memprejudiskan Najib dan tidak membawa sebarang perubahan kepada prosiding kes.

Sementara itu dalam keputusannya membenarkan permohonan Najib semalam, Mahkamah Rayuan berkata, ia berpuas hati dengan hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas mendapati pemohon berjaya menunjukkan terdapat keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan itu diberikan.

Mahkamah Rayuan berkata, ia berpendapat bahawa ia akan menyebabkan pembaziran masa kerana perbicaraan yang sudah berjalan akan menjadi tidak sah jika mahkamah rayuan memutuskan untuk membenarkan rayuan pemohon kemudian.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Julai tahun sama, beliau kemudian didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.

Dalam prosiding hari ini, Najib diwakili peguam Muhammad Shafee dan Harvinderjit Singh.

Berita Harian X