Selasa, 12 Februari 2019 | 9:46am
ANGGOTA bomba berusaha mencari seorang lelaki mangsa hilang berusia 40 tahun dalam kejadian, di Kampung Aman Bukit Payung, Tuaran. - Foto ihsan bomba

Lelaki dikhuatiri hilang

TUARAN: Seorang lelaki dikhuatiri hilang apabila tidak pulang ke rumah di Kampung Aman Bukit Payung, di sini, selepas keluar ke kawasan hutan berhampiran, sejak pagi semalam.

Difahamkan, Mohd Danyal Haneef Chai Abdullah, 40, kurang siuman dilaporkan keluar dari rumahnya seawal jam 7 pagi dan dilihat penduduk kampung memasuki kawasan hutan dalam keadaan tidak berpakaian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata pihaknya menerima panggilan daripada ahli keluarga mangsa berhubung kejadian pada jam 4.37 petang.

Katanya, dua kenderaan termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan untuk mengesan mangsa di kawasan hutan.

“Namun sehingga jam 7.19 malam tadi, mangsa belum ditemui. Operasi ditangguh dan disambungkan jam 7.07 pagi tadi,” katanya.

377 dibaca
Berita Harian X