Selasa, 12 Februari 2019 | 1:24am
Antara tong mengandungi bahan kimia 'ethylene chloride' yang bocor di pekarangan sebuah kilang sekitar Kampung Sungai Lalang, Semenyih, malam tadi. - Foto ihsan Bomba

10 tong bahan kimia bocor

SEMENYIH: Kebocoran bahan kimia dikesan membabitkan 10 tong di pekarangan sebuah kilang dekat Kampung Sungai Lalang, di sini, malam tadi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Zainal Elias Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung tumpahan bahan kimia ‘Ethylene chloride’ itu pada jam 10 malam.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya mengerahkan lapan pegawai dan anggota dari BBP Semenyih serta Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam menaiki dua jentera ke lokasi kejadian.

“Kita dapati kira-kira 50 tong mengandungi bahan kimia diletakkan sekitar kilang berhampiran kawasan lapang di lokasi berkenaan.

“Tong itu mengalami kebocoran dan menyebabkan tumpahan bahan kimia terbabit.

“Kerja pembersihan lokasi kejadian masih dilakukan anggota bomba dan HAZMAT,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

1210 dibaca
Berita Harian X