Isnin, 11 Februari 2019 | 11:32pm
ENAM pemancing berjaya diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang dibawa ke Limbungan Batu Maung. Dalam kejadian semalam, enam pemancing dikhuatiri hilang di perairan Pulau Pinang selepas keluar memancing dan semua ahli keluarga membuat laporan polis berhubung kes terbabit. - NSTP/Danial Saad

Bot rosak langgar tali kapal

GEORGETOWN: Enam pemancing selamat tiba di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Batu Maung, dekat sini malam ini.

Mereka tiba jam 10.10 malam dengan bot ditunda oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Kira-kira 50 orang terdiri daripada ahli keluarga mangsa dilihat menunggu sejak jam 7 malam tadi sejurus mendapat maklumat mereka ditemui dalam keadaan selamat.


KAPAL Maritim Gagah APMM sedang menunda bot yang dinaiki enam pemancing yang hilang selepas keluar dari Jeti Nelayan Kampung Datuk Keramat, Nibong Tebal. - Foto Ihsan APMM

Sejurus tiba di atas kapal, doa kesyukuran dibacakan kerana semua mereka selamat ditemui.

Tekong bot, Mohd Khairul Anuar Mohd Salleh, 30, berkata, bot dikemudinya berlanggar dengan tali kapal yang dibuang dalam laut menyebabkan kotak gear pecah.

Menurutnya, ketika itu jam 6 petang dan mereka dalam perjalanan pulang, namun disebabkan kerosakan enjin menyebabkan dia terpaksa melabuhkan sauh.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 4 pagi sauh tidak melekat akibat ombak kuat menyebabkan bot kami dihanyutkan arus.

“Ketika itu, kami hanya mampu berdoa dan turut meminta bantuan nelayan lain namun mereka mungkin tidak nampak bot kami,” katanya.

Menurutnya, mereka bernasib baik apabila ada nelayan ternampak jam 4.35 petang tadi dan kemudian terus menunda bot mereka kepada Maritim Malaysia.

“Ini pengalaman paling ngeri yang pernah saya alami kerana ia pertama kali berlaku sepanjang saya menjadi tekong bot,” katanya.

Dalam kejadian semalam, enam pemancing dikhuatiri hilang di perairan Pulau Pinang selepas keluar memancing dan semua ahli keluarga membuat laporan polis berhubung kes terbabit.

Selain Mohd Khairul Anuar, lima lagi pemancing ialah Mohd Azmil Abdul Rahman, 31, Mohd Faiz Ibrahim, 30, Lee Chee Sen, 49, Khairil Hafidzi Tajuddin, 31 dan Mohd Rajis Jamil, 35.

Mereka ditemui kira-kira 20 batu nautika dari Pulau Kendi jam 4.35 petang tadi.

613 dibaca
Berita Harian X