Isnin, 11 Februari 2019 | 10:15pm
GAMBAR fail, anggota Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien menunjukkan sebahagian gambar mengenai nasib 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja tanpa bicara dan tidak dimaklum kepada pihak Kedutaan Malaysia, ketika sidang media, 7 Februari lalu. - Foto BERNAMA

Tunggu kebenaran Imigresen bawa anggota keluarga ke Kemboja - Larry Sng

KUCHING: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien kini sedang berusaha mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bagi membenarkan beberapa anggota keluarga tahanan Malaysia di Kemboja untuk turut serta berangkat ke negara itu, Rabu ini.

Beliau berkata, ini adalah disebabkan ada antara anggota keluarga tahanan itu didapati tidak boleh keluar negara kerana mempunyai masalah dengan Jabatan Insolvensi.

Dalam perkembangan yang lain, Larry berkata, beliau turut dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan bahawa semua 47 tahanan itu sudah menerima kunjungan “Uncle Azra” atau Mohd Azra, sahabat kepada ibu seorang tahanan Malaysia itu yang berusaha menemui mereka di penjara mereka ditempatkan dengan bantuan pihak kedutaan Malaysia di sana.

Turut hadir dalam kunjungan itu, anggota ‘Cambodian Muslim Youth Alliance’ bagi membekalkan makanan dan minuman halal kepada tahanan.

Hari ini adalah hari ke-62 tahanan rakyat Malaysia berada di penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja kerana disyaki terbabit dengan aktiviti perjudian dalam talian. – BERNAMA

566 dibaca
Berita Harian X