Isnin, 11 Februari 2019 | 10:05pm
PILU … Ibu kanak-kanak dibunuh Solihah Abdullah, 35, mententeramkan anak bongsunya Mohamad Khairy Ibrahim, 9, yang memeluk gambar kakaknya Siti Masitah, 11, yang mati dibunuh ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan. - Foto BERNAMA

Pembunuh Siti Masitah sadis, kejam

KUALA LUMPUR: Individu yang terbabit dalam kes pembunuhan Siti Masitah Ibrahim, 11, disifatkan sebagai pembunuh sadis dan memiliki rasa simpati dan empati yang sangat rendah.

Pakar kriminologi yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Rahim Kamaluddin, berkata profil pelaku dapat dilihat menerusi kesan pembunuhan yang dialami mangsa.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, individu yang terbabit dalam kes itu termasuk dalam kategori pembunuhan instrumental iaitu melakukannya atas kepentingan dan tujuan tertentu.

Beliau berkata, melihat kepada mangsa pembunuhan iaitu seorang kanak-kanak yang dibunuh kejam, ini tunjukkan pelakunya melakukan pembunuhan instrumental, ada kepentingan atau mahu mendapat faedah daripada mangsa.

“Boleh jadi kepentingan dan faedah itu berbentuk seksual. Kita tidak boleh menolak andaian pelaku juga seorang yang menginginkan dominasi.

“Dalam pemprofilan jenayah, apabila mangsa diikat dengan tali, ini menunjukkan pelaku seorang yang ingin mendominasi kerana mangsanya adalah kanak-kanak. Jika mangsa orang dewasa mungkin akan melawan.

“Pelaku juga mensasarkan kanak-kanak kerana golongan ini mudah dimanipulasi dan senang dikawal. Pembunuh sadis ini mensasarkan kanak-kanak kerana pada pemikiran mereka, kanak-kanak adalah gadis suci.

“Ini menjadi alasan kepada pembunuh dan perogol sadis mengapa mereka mensasarkan kanak-kanak sebagai mangsa,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kes kematian Siti Masitah yang ditemui dalam keadaan tragis dengan kepalanya terpisah daripada badan, tangan dan kaki diikat serta beberapa organ dalaman didakwa tidak dijumpai, di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, di sini, kelmarin.

Mayat kanak-kanak malang itu dipercayai dibunuh, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 5 petang selepas mangsa dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu.

Mohamad Rahim turut berkata, berdasarkan keadaan mayat mangsa ditemui, ia menunjukkan tanda-tanda pelakunya mahu melupuskan identiti mangsa dan bukan sindiket penjual organ dalaman manusia.

“Kegiatan menjual organ dalaman tidak boleh dilakukan begitu saja, biasanya ia dilakukan golongan profesional dan sindiket tertentu. Kes itu perlu dilihat sebagai satu pembunuhan kejam,” katanya.

Beliau juga berkata, pembunuhan kejam itu juga boleh berpunca daripada pelakunya mengambil dadah jenis perangsang yang apabila mengambilnya, pelaku akan menjadi lebih berani melakukan sesuatu di luar nilai kemanusiaan.

“Semua kemungkinan ini perlu diambil kira kira kerana pembunuhan itu sangat kejam dan pelakunya memang seorang yang sadis,” katanya.

Sementara itu, Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak Fakulti Undang-undang, UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata pengaruh dadah, gangguan mental, terlalu panik dan takut boleh menyebabkan seseorang menjadi pembunuh kejam serta sadis terhadap mangsanya.

“Berdasarkan laporan akhbar mengenai keadaan mayat kanak-kanak itu, pelaku ini tidak ada perikemanusiaan. Mungkin di bawah pengaruh dadah atau gangguan mental.

“Namun orang yang panik dan takut juga boleh membuat sesuatu di luar jangkaan kita sebagai manusia,” katanya.

Noor Aziah turut berkata, kes yang berlaku itu amat mendukacitakan dan harus menjadi peringatan kepada ibu bapa dan masyarakat untuk sentiasa mengawasi anak mereka terutama yang berumur bawah 18 tahun.

4521 dibaca
Berita Harian X