Isnin, 11 Februari 2019 | 5:59pm
KERATAN berita kejadian semalam.

Dendam dan marah punca Siti Masitah dibunuh

KUANTAN: Dendam dan marah terhadap keluarga dipercayai motif pembunuhan kanak-kanak berusia 11 tahun, Siti Masitah Ibrahim yang ditemui dalam keadaan tragis di ladang sawit Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, Sabtu lalu.

Mayatnya ketika itu ditemui dengan kepala terpisah daripada badan, tangan dan kaki diikat serta beberapa organ dalamannya hilang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan, berkata siasatan lanjut terhadap lelaki berusia 23 tahun yang ditahan pada 30 Januari lalu bagi membantu siasatan turut mendedahkan pembabitan dirinya berkaitan kehilangan mangsa.

Katanya, lelaki warga Kemboja berketurunan Campa adalah kenalan kepada keluarga mangsa dan tinggal sekampung di Kampung Kemahang, Tanjung Medang, Pekan.

“Hasil soal siasat, pada awalnya suspek tidak membuat pengakuan mengenai kehilangan mangsa. Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut, suspek akhirnya mendedahkan pembabitan dirinya berkaitan kehilangan mangsa.

“Hasil daripada pengakuan awal suspek, polis turut merampas senjata kayu dipercayai digunakan oleh suspek bagi memukul mangsa.

“Motif kejadian bunuh ini adalah dipercayai kerana dendam atau marah terhadap keluarga mangsa,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Othman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis masih meneruskan siasatan terhadap suspek yang kini direman sehingga 17 Februari ini.

Siti Masitah dilaporkan keluar dari rumahnya pada jam 5 petang, 30 Januari lalu, untuk ke kedai runcit sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah.

Mayatnya kemudian ditemui sudah mereput dan tidak berseluar oleh penduduk kampung kira-kira jam 5 petang, Sabtu lalu.

Ibu mangsa, Solihah Abdullah, 35, yang juga warga Kemboja kemudian membuat laporan polis pada jam 11 malam pada hari mangsa dilaporkan hilang sebelum membawa kepada penahanan suspek beberapa jam kemudian.

Suspek ditahan susulan dakwaan penduduk kampung yang melihat kelibat Siti Masitah menaiki motosikal dengan suspek sebelum lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Othman berkata, laporan bedah siasat terhadap mayat Siti Masitah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pagi tadi, menunjukkan punca kematian disebabkan kecederaan pada kepala.

“Mengikut laporan sama, terdapat tiga kesan kecederaan pada rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri dan belakang kepala. Masa kematian mangsa adalah antara tujuh hingga 14 hari,” katanya.

Othman juga menafikan penularan berita tidak berasas bahawa terdapat organ badan mayat Siti Masitah yang hilang kononnya dikaitkan dengan aktiviti penjualan organ manusia.

“Kita tidak menolak kemungkinan, keadaan mayat yang tidak sempurna boleh diakibatkan oleh haiwan liar dan faktor mayat terdedah dalam masa yang panjang.

“Kita juga masih menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan mayat Siti Masitah,” katanya.

Berdasarkan baju biru yang dipakai oleh mangsa ketika keluar dari rumah pada 30 Januari lalu, Solihah mengecam mangsa adalah anaknya.

9910 dibaca
Berita Harian X