Isnin, 11 Februari 2019 | 4:37pm
Mangsa yang hilang selama tiga hari dijumpai dalam keadaan lemah di Ulu Krian, Saratok. - NSTP/Khalid Latip

Tiga hari hilang, ditemui selamat

SARATOK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu, berhasil petang semalam, apabila mangsa ditemui selamat, petang semalam.

Duncan Leslie, 26, ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan SAR, hanya kira-kira 500 meter dari Pos Kawalan Bomba di Ulu Krian, di sini, pada jam 6.55 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Nazry Mohamat, berkata sebelum itu pasukan SAR membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Ruan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong dan penduduk kampung melakukan pencarian di sepanjang jalan serta hutan berdekatan.

“Kami melakukan pencarian pada radius kira-kira 12 kilometer (km) di tepi jalan dan lima km ke dalam kawasan hutan.

“Usaha selama tiga hari itu akhirnya membuahkan hasil apabila mangsa dijumpai dalam keadaan selamat tetapi lemah di simpang Nanga Budu Ulu Krian. Dia kemudian dihantar ke Hospital Saratok untuk rawatan susulan,” katanya.

Duncan yang berasal dari Rumah Panjang Rosita Dugat, Nanga Budu Krian, dilaporkan hilang sejak petang Khamis lalu.

Anggota keluarga yang bimbang keselamatan mangsa kemudian tampil membuat laporan sebelum operasi SAR dilancarkan.

Berita Harian X