Isnin, 11 Februari 2019 | 12:21pm
Kuil Sri Maha Mariamman USJ Subang. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Inkues Adib: Jentera bomba dibaling dengan objek keras - Saksi

SHAH ALAM: Jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT) yang tiba untuk memadam kebakaran sebuah kereta di Kuil Sri Maha Mariamman USJ Subang, November lalu, dibaling dengan objek keras.

Saksi pertama prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kasim, Ketua Bahagian Siasatan Trafik Daerah Subang Jaya, Deputi Superintendan Mohamad Nasir Drahman, berkata jentera berkenaan dikelilingi orang ramai berbangsa India dan dibaling dengan objek keras.

“Jentera dikelilingi orang ramai dan dibaling. Pada penglihatan saya, jentera di depan (FRT) dibaling di bahagian depan.

“Jentera kemudian berundur dan melanggar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum ke hadapan dan kembali berundur hingga hilang daripada penglihatan saya,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.

Mohamad Nasir berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, beliau menganggarkan antara 3,000 ke 5,000 individu berkumpul di kuil berkenaan.

Katanya, jentera berkenaan diserang antara 10 hingga 15 minit sebelum ia meninggalkan lokasi.

“Saya berada kira-kira 80 ke 100 meter dari lokasi berkenaan diserang,” katanya.

Prosiding inkues yang diadakan di Mahkamah Koroner di sini, bagi mencari punca kematian anggota bomba Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.


Media beratur untuk mengambil pas kebenaran untuk mengikuti inkues Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Yahaya Othman hadir bagi mengikuti inkues di Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara, Tommy Thomas hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

1065 dibaca
Berita Harian X