Isnin, 11 Februari 2019 | 12:15pm
WEI Shien menunjukkan sebahagian gambar mengenai nasib 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja tanpa bicara dan tidak dimaklum kepada pihak Kedutaan Malaysia, ketika sidang media, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

AirAsia tanggung kos bawa balik rakyat Malaysia dari Kemboja

KUCHING: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia memberi khabar gembira buat keluarga 47 rakyat Malaysia yang kini ditahan di Penjara Banteay Meanchey, Kemboja, apabila sedia menanggung kos membawa mereka balik ke tanah air.

Kesediaan AirAsia untuk menampung kos penerbangan itu dimaklumkan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, semalam.

Wei Shien berkata, beliau akan ke Kemboja Rabu ini bersama delegasi media dan wakil ahli keluarga tahanan untuk meninjau sendiri keadaan tahanan terbabit.

“Pejabat Kedutaan Malaysia di Kemboja sudah berjaya mengatur lawatan delegasi kami ke Penjara Banteay Meanchey Rabu ini dan saya juga dimaklumkan bahawa AirAsia akan turut sama menyertai Misi Menyelamat dan Membawa Pulang Rakyat Malaysia di Kemboja itu.

“Saya amat berbangga kerana ramai yang tampil menghulurkan pelbagai bentuk bantuan terutamanya AirAsia yang akan membiayai kos membawa pulang semua rakyat Malaysia itu,” katanya.

Sementara itu, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh kini difahamkan sedang giat menjalankan rundingan dengan pegawai kanan Kemboja bagi membolehkan semua tahanan dibebaskan secepat mungkin.

Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar, Deddy Faisal Ahmad Salleh berkata, usaha membebaskan semua tahanan kini mendapat perhatian serius Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sarawak, namun ia perlu dilakukan mengikut prosedur undang-undang negara berkenaan.

Seramai 47 rakyat Malaysia dengan 44 daripadanya asal Sarawak kini ditahan di penjara di Poipet dalam Wilayah Banteay Mancheay, 446 kilometer ke utara Phnom Penh kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian.

Namun, sehingga kini tiada sebarang pendakwaan dilakukan kerana mereka mendakwa ke negara berkenaan selepas ditawarkan pekerjaan sebagai promoter untuk satu jenama barangan elektronik pada Oktober lalu.

2362 dibaca
Berita Harian X