Ahad, 10 Februari 2019 | 9:42pm
Gambar fail, anggota Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien ketika sidang media mengenai nasib 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja tanpa bicara dan tidak dimaklum kepada pihak Kedutaan Malaysia, ketika sidang media, Khamis lalu. - Foto BERNAMA

Larry Sng, media dan keluarga tahanan ke Kemboja Rabu ini

KUCHING: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dijadual berlepas ke Kemboja pada Rabu ini bersama delegasi media serta ahli keluarga tahanan rakyat Malaysia di negara itu bagi meninjau situasi sebenar dan melihat keadaan mereka di sana.

Larry Sng dalam kenyataannya hari ini berkata pejabat Kedutaan Malaysia di Kemboja berjaya mengatur lawatan delegasi ke penjara Banteay Meanchey.

“Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa pihak AirAsia juga akan turut serta dalam misi menyelamat serta membawa pulang tahanan rakyat Malaysia dengan membiayai kos membawa pulang ke tanah air.

“Saya berasa amat berbangga kerana banyak pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bentuk bantuan tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun fahaman politik,” katanya.

Pada Khamis lalu, Kementerian Luar mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Mereka dikatakan ditahan di negara berkenaan selepas terpesona dengan janji gaji lumayan yang dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.

Sebahagian besar rakyat Malaysia yang ditahan itu dikatakan berasal dari Sarawak. — BERNAMA

581 dibaca
Berita Harian X