Ahad, 10 Februari 2019 | 5:57pm
Anggota keselamatan dalam operasi memadam sisa kebakaran di Gunung Baling yang terbakar sejak lima hari lalu. - Ihsan Bomba

Gunung Baling masih terbakar

BALING: Operasi memadam kebakaran hutan Gunung Baling, di sini, yang memasuki hari kelima masih diteruskan berikutan tinjauan melalui dron yang dilakukan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan terdapat beberapa api masih menyala di kawasan itu..

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud, berkata pihaknya kini memberi tumpuan untuk memadamkan kebakaran yang berada dalam skala kecil itu, selain gumpalan asap yang disifatkan agak sukar untuk dikesan berikutan faktor tiupan angin.

“Kesan kebakaran ini kadang-kala kita nampak, kadang-kala tidak kerana disebabkan angin, ia membuatkan proses kita nak mencari ‘spot’ kebakaran itu menjadi sukar, ” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Jamil berkata, selain angin, cuaca panas turut menyukarkan anggota keselamatan melakukan operasi pemadaman, khususnya ‘spot’ kebakaran di celah batu yang curam.

Namun, beliau berkata, pihaknya akan terus memantau dan mengawal kebakaran supaya api tidak merebak pada skala besar di kawasan berhampiran.

Katanya, operasi memadam kebakaran ini turut menerima bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), malim gunung dan Penyelaras Parlimen Baling.

Sebelum ini, hampir 85 peratus kebakaran di Gunung Baling yang dikesan berlaku sejak Rabu lalu berjaya dipadamkan.

229 dibaca
Berita Harian X