Sabtu, 9 Februari 2019 | 11:44am
HAMPIR 85 peratus kebakaran berjaya dipadam menggunakan jalan darat dan udara. - Foto BERNAMA

Hampir 85 peratus kebakaran Gunung Baling dipadam - Bomba

ALOR SETAR: Hampir 85 peratus kebakaran yang dikesan di Gunung Baling sejak empat hari lalu, sudah berjaya dipadamkan setakat ini, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya keadaan cuaca hari ini panas dan angin kuat, ada kemungkinan api yang sudah dipadamkan itu marak semula.

“Hingga kini, hampir 85 peratus kebakaran berjaya dipadam menggunakan jalan darat dan udara. Operasi hari ini bermula jam 7.30 pagi hanya mengesan beberapa titik kecil kebakaran yang jumlahnya semakin berkurangan.

“Kita juga mengesan satu titik kebakaran yang menghala ke arah kuari Gunung Baling tetapi masih dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Jamil berkata, penggunaan helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih diteruskan bagi memadam kebakaran menerusi pelepasan ‘water bombing’ dari udara.

Beliau berkata, hingga jam 9 pagi tadi, sebanyak tujuh beg ‘water bombing’ sudah dilepaskan di lokasi kebakaran gunung itu.

“Selain itu, anggota bomba menggunakan ‘fire beater’ dan ‘jet shooter’ untuk membantu memadamkan kebakaran kecil yang turut dibantu anggota daripada agensi penguat kuasa yang lain,” katanya.

Punca kebakaran itu yang bermula Rabu lalu belum dikenal pasti, namun bomba tidak menolak kemungkinan ia disebabkan aktiviti pendakian. – BERNAMA

177 dibaca
Berita Harian X