Sabtu, 9 Februari 2019 | 8:03am
MANGSA lemas di air terjun Silibin. - Foto ihsan bomba

Dua bersepupu ditemui lemas di air terjun

IPOH: Dua pemuda yang juga sepupu ditemui lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di Air Terjun Silibin berhampiran Kawasan Perindustrian Silibin, di sini, semalam.

Mayat K Guganeswaran, 24, serta V Vikneshawaran, 20, dijumpai kira-kira jam 7.30 malam di kedalaman dua meter air terjun itu oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Namun, pasukan bomba berdepan kesukaran membawa keluar mayat kedua-dua mangsa berikutan lokasi air terjun terbabit yang curam dan memerlukan pendakian.

Susulan itu, operasi membawa keluar mangsa hanya selesai pada jam 12.05 tengah malam tadi.

Difahamkan, dua bersaudara itu bersama tujuh ahli keluarga lain berkelah dan mandi di kawasan rekreasi terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa pada jam 4.36 petang semalam

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di kawasan air terjun itu.

“Anggota bomba melakukan pencarian di lokasi kedua-dua mangsa mandi sebelum menemui mayat mereka pada kedalaman dua meter di bawah paras air,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, beliau berkata, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mangsa dari kawasan air terjun itu kerana keadaan muka bumi yang curam, selain terpaksa melalui jalan sempit.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke pusat operasi bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, untuk bedah siasat.

Berita Harian X