Jumaat, 8 Februari 2019 | 3:51pm
KEBAKARAN di Gunung Baling. - Foto Amran Hamid

Penduduk bimbang api Gunung Baling merebak

BALING: Lebih 100 keluarga yang menetap berdekatan kaki Gunung Baling menyuarakan kebimbangan dengan kebakaran di kawasan itu yang berkemungkinan merebak ke penempatan mereka.

Penduduk mendakwa sekiranya api terus marak, percikan api akan jatuh ke kaki gunung dan boleh menyebabkan kediaman mereka yang terletak kurang 50 meter terbakar.

Seorang penduduk, Zahruddin Hambali, 57, berkata setiap kali hutan Gunung Baling terbakar, mereka akan berasa cemas kerana bimbang kejadian buruk berlaku.

“Sejak dahulu lagi kami tidak lena tidur apabila Gunung Baling terbakar kerana akan mendengar bunyi letupan kecil di kawasan lereng selain bimbang bara kayu jatuh ke atas bumbung rumah.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mempercepatkan usaha memadam kebakaran atau mengawal api daripada terkena rumah kami,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian bermula petang Rabu lalu, lebih 600 meter persegi hutan Gunung Baling terbakar dipercayai akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pengunjung membuang puntung rokok di laluan pendakian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Baling, Penolong Penguasa Mohd Jamil Mat Daud, berkata terdapat beberapa tompokan api baharu dikesan hari ini, dipercayai akibat percikan api menyebabkan operasi memadam bertambah sukar.

Katanya, ada kawasan kebakaran yang sudah padam sepenuhnya semalam, tetapi kembali berasap dipercayai kesan bara api yang tertinggal di bawah tanah gambut.

“Jika semalam, kawasan kebakaran adalah pada paras ketinggian 260 meter sahaja, namun hari ini api sudah merebak sehingga ke kawasan puncak pada paras lebih 300 meter membabitkan kawasan seluas lebih 700 meter persegi.

“Selain menggunakan teknik semburan udara menggunakan helikopter Mi17, kita turut melakukan pemadaman secara manual iaitu dengan cara memukul api dan bara yang kelihatan di permukaan,” katanya.

Difahamkan, faktor cuaca panas dan kering serta ketiadaan sumber air menyukarkan usaha memadam kebakaran gunung berkenaan ketika ini.

396 dibaca
Berita Harian X