Khamis, 7 Februari 2019 | 10:20pm
AHLI keluarga mangsa (duduk) disamping mayat Mohamad Ramli Ibrahim yang ditemui lemas di Rumah Pam, Sungai Pedu. - Foto Noorazura Abdul Rahman

'Saya sempat jerit minta mereka naik cepat'

KUALA NERANG: Ibu kepada dua mangsa lemas di Sungai Pedu berdekatan Bukit Sena, tengah hari tadi, hanya mampu melihat tangan anaknya terkapai-kapai sebelum mereka dibawa arus deras.

Noor Hayati Mad Ramli, 40, berkata sebelum kejadian, beliau sempat menjerit pada Nor Safia Hafiza Samsudin, 16, dan Nor Shariza Hariza, 14, supaya naik ke tebing berikutan air sungai itu kelihatan mengalir semakin laju.

Namun, beliau berkata, belum sempat kedua-dua anaknya itu naik ke darat, arus air tiba-tiba menjadi deras sehingga menghanyutkan mangsa dan rakan mereka.

“Ketika nampak mereka mandi di tengah sungai, saya sempat menjerit supaya jangan main di situ sebab dalam dan meminta mereka naik cepat.

“Bagaimanapun tanpa disangka, air terus deras selepas itu dan menghanyutkan mereka semua,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kuala Nerang, di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, Nor Safia Hafiza dan Nor Shariza Hariza dihanyutkan arus deras sebelum cuba diselamatkan oleh datuk mereka, Mad Ramli Ibrahim, 65, yang kemudian turut lemas.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Hanis, 14, yang merupakan rakan dua beradik itu, berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Bercerita lanjut, Noor Hayati yang sedang mengandung lima bulan berkata, ketika kejadian, bapanya sedang menikmati makanan tetapi segera terjun ke dalam sungai walaupun kakinya sakit bagi menyelamatkan Nor Safia Hafiza dan Nor Shariza Hariza.

Katanya, beliau tidak menyangka perasaan berat hati untuk pergi berkelah di Sungai Pedu menjadi petanda akan berlaku tragedi itu.

“Kira-kira jam 9 pagi tadi, saya memang hendak balik ke rumah di Taman Persisir Kota, Kuala Kedah, tetapi akhirnya menurut juga permintaan arwah ayah yang mengajak kami berkelah di Sungai Pedu walaupun saya tidak sedap hati.

“Ketika di tebing sungai pula, Nor Safia Hafiza sempat menyerahkan cincin yang saya beri kepadanya, sedangkan dia tidak pernah menanggalkannya sebelum ini. Tidak sangka ia menjadi petanda pemergiannya,” katanya.

1801 dibaca
Berita Harian X