Khamis, 7 Februari 2019 | 8:48pm
MAYAT Nurul Ain sudah ditemui ditemui orang awam jam 4.32 petang tadi. - Foto Ihsan Bomba Johor

TERKINI: Mayat Nur Ain ditemui

KOTA TINGGI: Mayat kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas ketika bermain air dalam tragedi di Pantai Tanjung Balau, dekat sini, semalam, ditemui orang awam jam 4.32 petang tadi.

Mangsa, Nurul Ain Sajali, 8, ditemui orang awam pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian mangsa dilaporkan lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail, berkata setakat ini, operasi membawa mangsa ke daratan sudah dijalankan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 5.30 petang tadi.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kota Tinggi bagi urusan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, petang tadi.

Terdahulu, pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi berkaitan kira-kira jam 8.30 pagi tadi bagi mengesan mangsa.

Mohd Fadli berkata, operasi dijalankan pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Katanya, pencarian dibahagikan kepada dua kaedah iaitu pencarian di pesisiran pantai dan menggunakan bot di laut.

“Semalam kita (bomba) membuat pencarian sekitar satu kilometer persegi. Hari ini radius kawasan pencarian turut diperluaskan kira-kira dua kilometer persegi dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

2850 dibaca
Berita Harian X