Khamis, 7 Februari 2019 | 7:00pm
ORANG ramai melihat gerakan mencari mangsa yang dikhuatiri lemas di rumah pam Sungai Pedu, Kampung Tanjung Pedu. - Foto Ihsan Pembaca

TERKINI: 3 sekeluarga lemas di Sungai Pedu

PADANG TERAP: Tiga sekeluarga lemas, manakala seorang selamat selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Pedu berdekatan Kampung Bukit Sena, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa yang lemas adalah Mohamad Ramli Ibrahim, 65, bersama dua cucunya, Nor Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan Nor Shariza Hariza Samsudin, 14, manakala rakan mereka dikenali sebagai Hanis, 14, dirawat di Hospital Kuala Nerang.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan, Noh Idris, berkata semua mangsa dipercayai datang ke sungai berkenaan pada jam 12.30 tengah hari untuk berkelah bersama keluarga berdekatan rumah pam sungai berkenaan.

“Bagaimanapun ketika mandi, tiga mangsa perempuan dibawa arus dan lemas menyebabkan mangsa lelaki terjun ke sungai bagi membantu menyelamatkan mereka.

“Pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari kemudian berjaya menyelamatkan seorang mangsa berusia 14 tahun dan dia dihantar ke Hospital Kuala Nerang bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Operasi mencari mangsa kemudian diteruskan di sepanjang sungai berkenaan dengan mangsa perempuan berusia 14 dan 16 tahun ditemui anggota bomba terapung di sungai.

Noh berkata, mangsa terakhir yang juga lelaki ditemui pada jam 5.35 petang sebelum operasi mencari ditamatkan.

Katanya, semua jenazah sudah dihantar ke Hospital Kuala Nerang bagi proses pengecaman dan bedah siasat dijangka dilakukan secepat mungkin.

Berita Harian X