Khamis, 7 Februari 2019 | 5:57pm
AHLI Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien pada sidang media khas berkenaan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja, di Kuching, hari ini. - Foto Mohd Radzi Bujang

Gaji lumayan jerat 47 rakyat Malaysia di Kemboja

KUCHING: Terpesona dengan janji manis berupa gaji lumayan menjadi penyebab utama penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja, sejak 11 Disember lalu, dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.

Sebahagian besar yang ditahan adalah anak muda seawal usia 19 tahun hingga 44 tahun, gara-gara termakan dengan taktik licik sindiket yang menjadikan kumpulan masyarakat daripada keluarga miskin di luar bandar sebagai sasaran utama.

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, berkata daripada 47 rakyat negara ini yang ditahan, 44 daripadanya adalah anak muda Sarawak, berasal daripada keluarga miskin dari setiap pelusuk negeri ini, termasuk membabitkan belia Melayu, Iban dan Melanau.

Katanya, berita penahanan mangsa hanya diketahui selepas akhbar tempatan Kemboja melaporkan penahanan mereka oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

“Kebanyakan daripada anak Sarawak yang ditahan di pusat tahanan di negara itu adalah Iban. Mereka ditipu sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia dengan memperdaya mereka terutama di kawasan luar bandar.

“Kita mendapat maklumat bahawa pemergian mereka ke Kemboja dibuat secara berperingkat dengan ada di antara mereka perlu membayar sebanyak AS$100 hingga AS$200. Kita tidak dimaklum bekerja sebagai apa, namun mereka dijanjikan gaji lumayan,” katanya dalam sidang media khas berkenaan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja, di sini, hari ini.

Wei Shian dalam sidang media berkenaan turut memperkenalkan kumpulan pembantu dalam isu penahanan rakyat Malaysia di Kemboja, termasuk membabitkan dirinya, Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang; Penasihat PKR Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun; wakil Persatuan Iban Dayak Sarawak, Sidi Munan dan wakil Persatuan Graduan Dayak Sarawak, Dr Dusit Jaul.

Sumber memberitahu semua mangsa ditahan sejurus mereka tiba di Poipet, Banteay Mancheay di pinggir Phnom Penh, 11 Disember lalu.

Wei Shian ketika mengulas lanjut, pihaknya bergerak selepas diminta ahli keluarga untuk memberi bantuan, selain bekerjasama dengan Wisma Putra, dengan objektif membawa semua mereka balik ke negara ini.

“Setibanya mereka di Kemboja, anak muda ini ditempatkan di rumah persendirian. Selepas beberapa minggu, mereka semakin resah kerana tiada pekerjaan seperti dijanjikan sebelum ini. Pada 11 Disember lalu, mereka ditahan pihak berkuasa Kemboja atas dakwaan terbabit dalam perjudian dalam talian,” katanya.

Difahamkan, Wisma Putra sedang bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja berhubung perkara itu.

Katanya, mereka kini ditahan di sebuah pusat tahanan kira-kira 446 kilometer dari Phnom Penh, pada 16 Disember lalu, hingga ke hari ini.

“Seramai 47 rakyat Malaysia sehingga ke hari ini belum dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa mahupun direman. Kita difahamkan, pihak berkuasa Kemboja boleh menahan mereka sehingga tiga tahun tanpa didakwa di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, lebih menyedihkan satu perempat daripada mangsa adalah wanita muda.

“Adalah menjadi harapan ahli keluarga yang terbabit supaya Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Luar membantu membawa mereka kembali ke tanah air,” katanya.

Wei Shian berkata, mereka yang ditahan tidak mempunyai kemampuan mendepani kerumitan birokrasi Kemboja.

“Marilah kita bersama-sama membantu dan membawa mereka pulang semula dalam keadaan selamat,” katanya.

3215 dibaca
Berita Harian X