Khamis, 7 Februari 2019 | 3:44pm
HELIKOPTER pemadam api jenis MI17 digunakan untuk memadam kebakaran di Gunung Baling. - Foto Amran Hamid

Kebakaran Gunung Baling semakin serius

BALING: Anggota agensi keselamatan berhadapan kesukaran memadamkan kebakaran tanah gambut di Gunung Baling berikutan ketiadaan sumber air mencukupi.

Sejak api merebak semalam, seramai 101 anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan malim gunung terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran secara manual.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Kedah, Tuan Zamani Ismail, berkata seramai 101 anggota keselamatan terbabit dalam operasi memadamkan api dan bara di kawasan seluas kira-kira 600 meter persegi.

Katanya, anggota keselamatan hanya dapat membawa peralatan pemukul api bagi memadamkan kebakaran kerana kesukaran membawa alat pemadam ke kawasan terbakar yang berada pada ketinggian 260 meter.

“Kita hanya dapat mengawal api dari terus merebak ke kawasan lebih besar terutamanya ke kawasan penempatan berdekatan di kaki gunung.

“Helikopter pemadam api jenis MI17 juga sudah tiba pada jam 2 petang tadi dari Subang dan dijangka mula melakukan operasi memadam petang ini,” katanya.

Kawasan hutan Gunung Baling dilapor mula terbakar sejak jam 5 petang semalam dan api dilapor merebak dengan cepat berikutan cuaca kering dan tiupan angin ketika ini.

1183 dibaca
Berita Harian X