Khamis, 7 Februari 2019 | 2:27pm
PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) masih tidak menemui sebarang petunjuk mengenai kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Balau. - Foto NSTP/Nurul Amanina Suhaini

Gerakan SAR kanak-kanak lemas diteruskan

KOTA TINGGI: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sehingga kini masih tidak menemui sebarang petunjuk mengenai kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Balau, dekat sini, petang semalam.

Operasi SAR masih dijalankan pihak bomba dan agensi berkaitan bagi mencari Nurul Ain Sajali.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail, berkata setakat ini, operasi masih dijalankan pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Seramai tujuh anggota bomba digerakkan ke lokasi, selain 10 anggota Maritim Malaysia, empat penguat kuasa PBT Pengerang, empat anggota polis dan tujuh daripada APM.

“Setakat ini, tiada sebarang petunjuk mengenai mangsa, bagaimanapun semua pihak akan teruskan pencarian bagi mengesan mangsa.

“Operasi SAR bermula seawal jam 8.30 pagi tadi, selain pencarian dibahagikan kepada dua kaedah iaitu pencarian di pesisiran pantai dan menggunakan bot di laut.

“Semalam, kita (bomba) membuat pencarian sekitar satu kilometer persegi. Hari ini radius kawasan pencarian turut diperluaskan kira-kira dua kilometer persegi dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas ketika bermain air dalam tragedi di Pantai Tanjung Balau, di sini.

Mohd Fadli berkata, mangsa dipercayai bermain air dengan dua beradiknya di kawasan berbatu yang berhampiran pantai sebelum ditarik arus dasar laut.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.03 petang dan menggerakkan 11 anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera, Toyota Hilux dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

392 dibaca
Berita Harian X