Khamis, 7 Februari 2019 | 8:00am
ANTARA ayam yang dirampas pihak polis selepas perlawanan sabung ayam di Kampung Lapasan, Tuaran. - NSTP/Recqueal Raimi

Ditahan ketika berjudi sabung ayam

TUARAN: Polis menahan 12 lelaki yang leka berjudi sabung ayam di Kampung Lapasan, di sini, semalam.

Lelaki berusia antara 28 hingga 69 tahun itu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran dalam serbuan jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata sekumpulan lelaki dikesan leka mengelilingi sebuah gelanggang menyabung ayam sebelum bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran polis.

“Polis dapat menahan 12 lelaki dan merampas 10 ekor ayam sabung dipercayai digunakan untuk berjudi.

“Turut dirampas empat sangkar dawai, dua unit jam randik dan wang tunai berjumlah RM12,907,” katanya di sini, hari ini.

Dzulbaharin berkata, semua yang ditahan dibawa ke IPD Tuaran untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati semua yang ditahan berasal dari daerah ini, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Berita Harian X