Khamis, 7 Februari 2019 | 12:15am
MUHAMMAD Faris (tengah) bersama ahli keluarga menunjukkan gambar abangnya, Muhammad Faiz yang lemas d- Foto Nor Amalina Alias

Jurudawai hilang di laut

BACHOK: Kegembiraan 35 ahli keluarga menyambut Hari Keluarga sempena cuti perayaan berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian di Sudara Beach Resort di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.45 petang tadi, mangsa, Muhd Faiz Abdullah, 26, dikhuatiri dihanyutkan ombak ketika sedang mandi bersama tujuh ahli keluarganya.

Adik mangsa, Muhammad Faris Abdullah, 24, berkata ketika kejadian, dia bersama adik beradik dan sepupu sedang mandi sebelum terdengar jeritan meminta tolong abang ketiga daripada sembilan beradik itu.

Katanya, Faiz yang bekerja sebagai jurudawai, mandi dalam keadaan terbaring sebelum tanpa disedari dibawa arus hingga ke tengah laut.

“Saya sempat nampak abang timbul dan tenggelam. Dia cuba berenang, namun tertelan banyak air sehingga kepenatan dan akhirnya hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Faris berkata, dua daripada ahli keluarga cuba menyelamatkan mangsa dengan menangkap tangan, selain mencari tali serta berkayak, namun tetap gagal kerana arus deras.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Mohd Badrul Munir Abdullah, 43, berkata dia dan ahli keluarga lain datang bercuti sempena tahun Baharu Cina sekitar jam 2 petang tadi.

Katanya, mangsa kelihatan banyak termenung dan tidak menunjukkan minat untuk menyertai sukaneka yang diadakan keluarga berbanding perangai biasanya yang suka bercakap banyak.

“Dia kelihatan teruja nak sertai hari keluarga ini, namun petang tadi nak bermain sukaneka pun kena paksa,” katanya yang bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 7.05 petang.

Katanya, seramai 11 anggota bomba balai bomba dan penyelamat bachok, enam anggota pasukan penyelamat di air (PPDA) Kota Bharu, enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bachok, tiga anggota PBS Kota Bharu, dua anggota PBS Pengkalan Chepa dan lain-lain agensi dengan jumlah keseluruhan 50 anggota bertugas dalam operasi mencari mangsa.

“Pada malam ini, pihak bomba membuat pemantauan di pesisir pantai sejauh satu kilometer dari kanan dan kiri lokasi mangsa dilaporkan lemas. Operasi pencarian di air akan diteruskan jam 8 pagi nanti sekiranya mangsa belum ditemui,” katanya.

460 dibaca
Berita Harian X