Selasa, 5 Februari 2019 | 10:30pm
Dua rentung selepas kereta BMW yang mereka naiki terbabas sebelum terbakar di Kilometer 6.9 Lebuhraya SILK menghala Sungai Long, Kajang. - Foto Nurul Hidayah Bahaudin

Tiga rentung, BMW terbabas di Lebuhraya SILK

KAJANG: Tiga rentung selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar di Kilometer 6.9 Lebuhraya SILK arah ke Sungai Long di sini, lewat petang tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.20 petang, kereta BMW itu dipercayai terbabas akibat hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

"Ketika kejadian, ada tiga mangsa dalam kenderaan dan semua mereka rentung dalam nahas itu.

"Seorang mangsa sudah dapat dikenal pasti identitinya iaitu seorang wanita berusia 65 tahun berasal dari Taman Anggerik Emas, Kajang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, polis masih memeriksa nombor casis kenderaan dan sedang berusaha mengesan waris mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizham Mohd Nudin, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian.

"Semua mangsa tersepit dalam kenderaan itu yang terbakar hampir 90 peratus.

"Kerja mengeluarkan semua mangsa mengambil masa lebih sejam sebelum diserahkan kepada polis," katanya.

Berita Harian X