Isnin, 4 Februari 2019 | 6:10pm
ANGGOTA bomba menjalankan operasi menyelamatkan mangsa yang terkunci dalam kereta di restoran Nasi Ulam Cikgu, Jalan Hilir Kota. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Baru lima tahun sudah pandai merajuk

KOTA BHARU: Takut dimarahi bapa, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengunci diri dalam kereta kira-kira selama 45 minit.

Tindakannya mendatangkan panik kepada keluarga yang cuba memujuk kanak-kanak itu yang berada di bawah papan pemuka (dashboard) dalam keadaan menutup muka.

Cubaan membuka pintu kereta turut dibantu orang ramai dengan mengetuk cermin dan menggoyangkan kenderaan Hyundai Sonata itu kerana menyangkakan kanak-kanak itu terlelap.

Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, mereka sekeluarga datang dari Kuala Lumpur ingin menjamu selera di restoran Nasi Ulam Cikgu di Jalan Hilir Kota, di sini.

“Mangsa yang mengantuk enggan keluar dari kereta menyebabkan ibunya ingin memberitahu bapanya yang sudah mula berjalan ke arah restoran.

“Sebaik ibunya keluar dari kereta, mangsa terus menutup pintu (kereta) dan menguncinya dalam keadaan enjin terpasang,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Pihak berkuasa segera dihubungi selepas usaha membuka pintu termasuk memujuk kanak-kanak itu gagal.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Adnan Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.49 petang dan tiba 20 minit kemudian.

“Seramai tiga anggota ditugaskan dalam operasi menyelamatkan mangsa yang terkunci dalam kereta.

“Anggota bomba mengambil masa selama lima minit untuk menyelamatkan mangsa menggunakan peralatan khas bagi membuka cermin kereta,” katanya ketika dihubungi.

3627 dibaca
Berita Harian X