Isnin, 4 Februari 2019 | 2:11pm

Polis rampas mercun RM90,000 disimpan dalam rumah

KEPALA BATAS: Dua peniaga ditahan selepas disyaki menjual bunga api dan mercun tanpa permit di dua lokasi berasingan dekat Butterworth di sini, tengah malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, suspek berusia 25 dan 35 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Raja Uda dan Bagan Ajam dekat Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menjual barangan terbabit di sekitar Butterworth dan Mak Mandin, di sini.

“Dalam serbuan pertama, kita merampas stok pelbagai mercun dianggarkan bernilai hampir RM50,000 dalam sebuah rumah di Jalan Raja Uda di sini, yang dijadikan sebagai stor simpanan.

“Stok mercun dianggarkan bernilai hampir RM50,000 pula dirampas di rumah kedai dekat Bagan Ajam, di sini. Kedua-dua suspek mengaku mendapat bekalan mercun dari Thailand sejak dua bulan lalu.

“Kedua-dua mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, Noorzainy berkata, seorang bekas sukarelawan polis ditahan selepas disyaki menyamar sebagai anggota penguat kuasa untuk memeras, di Persiaran Perindustrian Bertam Perdana di sini, Jumaat lalu.

Katanya, mangsa berusia 35 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal curi selepas dipercayai memeras seorang lelaki warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen.

“Ketika kejadian, suspek memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta wang bernilai RM1,000 untuk melepaskan warga asing terbabit. Mangsa kemudian menjelaskan tidak memiliki wang mencukupi.

“Suspek meminta mangsa meminjam wang daripada rakannya dan dibawa ke beberapa lokasi tak diketahui sebelum meninggalkan warga asing di Bertam Lake Homes, di sini.

“Mangsa kemudian ditemui anggota dari Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang membuat rondaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 170 dan 384 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek diberhentikan sejak dua tahun lalu kerana kesalahan membabitkan dadah itu menyasarkan warga asing sebagai mangsa, selain dia kini direman sehingga esok.

“Suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes sedemikian sebelum ini, dengan orang ramai yang pernah diperdaya dinasihat tampil membuat laporan,” katanya.

101 dibaca
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (kanan) menunjukkan mercun yang dirampas pada sidang media di Kepala Batas, hari ini. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X