Sabtu, 2 Februari 2019 | 6:45pm
Lokasi kejadian seorang lelaki cedera di dada kanan selepas terkena peluru sesat ketika singgah berehat di Caruk Jek, Tasik Pedu. - Ihsan PDRM

Lelaki cedera terkena peluru sesat

PADANG TERAP: Seorang lelaki cedera di dada kanan akibat terkena peluru sesat ketika berehat di kawasan Caruk Jek, Tasik Pedu, di sini, selepas menangkap ikan bersama dua rakannya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, lelaki yang berusia 44 tahun itu sedang berehat di tebing tasik berkenaan sebelum rakannya terdengar mangsa menjerit ‘Allahu Akbar’ lalu terbaring atas tanah.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris, berkata mangsa bersama rakannya pergi ke tasik terbabit menaiki bot untuk menangkap ikan sejak Khamis lalu.

“Mereka kemudian terus membawa mangsa ke Hospital Kuala Nerang untuk menerima rawatan.

“Mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum doktor mendapati terdapat kesan lubang di dada kanan di mana imbasan X-ray terdapat anak peluru di dadanya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Pada masa sama Noh berkata, polis sudah merakam keterangan seorang rakan mangsa yang hanya sempat mendengar mangsa menjerit kesakitan namun tidak mendengar apa-apa bunyi tembakan.

“Polis kemudian ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan mendapati terdapat kesan tembakan dari atas sebatang pokok di situ.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti kejadian sebenar dan siasatan awal kemungkinan dilakukan pemburu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dalam keadaan stabil dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

Berita Harian X