Sabtu, 2 Februari 2019 | 1:33pm
Anggota Bomba berusaha mengeluarkan sepasang suami isteri dan dua anak mereka yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Alor Setar - Kangar, Sanglang. - Foto ihsan Bomba

Suami isteri maut kemalangan

KANGAR: Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan jalan raya selepas kereta yang dipandu anak lelaki mereka terbabas di Jalan Alor Setar-Kangar, Sanglang, awal pagi tadi.

Mangsa, Ibrahim Mustafa dan isterinya, Zaiton Salleh kedua-duanya berusia 60 tahun dan berasal dari Kuala Perlis, meninggal dunia selepas dipercayai parah pada anggota badan.

Sementara dua anak mereka, Mohd Noor Iman Ibrahim, 22, dan Nur Ayu Nadia Ibrahim, 16, masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis berkata, dalam kejadian jam 4 pagi tadi, kereta PROTON Persona dari Alor Setar, Kedah yang dipandu anak lelaki mangsa terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

“Kami menerima panggilan pada jam 4.47 pagi tadi yang memaklumkan terdapat sebuah kemalangan membabitkan satu keluarga di Jalan Alor Setar-Kangar.

“Dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba Simpang Empat, kami bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang berada di dalam kereta, pada jam 5.32 pagi.

“Pasangan terbabit disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan di tempat kejadian dan dua anak mereka dibawa ke HTF untuk rawatan lanjut,” katanya.

737 dibaca
Berita Harian X