Sabtu, 2 Februari 2019 | 12:07pm

'Mulianya hati Abang Bomba'

LIMBANG: RM4,000! Itu jumlah wang tunai ditemui pada seorang lelaki warga emas sebaik mayatnya dibawa keluar dari Toyota Unser dalam kemalangan di Kilometer 18, di sini, petang kelmarin.

Prinsip kejujuran yang dipegang pegawai dan anggota bomba bertugas dalam operasi jam 3 petang itu berjaya menyerahkan semula wang berkenaan kepada menantu mangsa, Chin Siaw Sheh, 85, sejurus dimaklumkan mengenai insiden menimpa bapa mentuanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem, berkata pasukannya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan dua kenderaan.

Sebaik tiba, katanya, Toyota Unser dipandu mangsa bersama dua cucunya masing-masing berusia 11 dan 17 tahun itu terbalik.

“Saya bersama anggota lain bergegas membantu mengeluarkan mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu.

“Ketika melakukan pemeriksaan pada badan mangsa untuk mencari kad pengenalan, saya menemui wang tunai dalam dompet dengan not RM50 diikat dengan getah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tawang berkata, dua cucu mangsa yang cedera kemudian menghubungi bapa mereka bagi memaklumkan kejadian.

Katanya, wang dipercayai hasil perniagaan mangsa diserahkan kepada menantu lelaki yang tiba di lokasi sebentar kemudian.

“Kami mendukung prinsip kejujuran yang diterapkan ketika bertugas dan saya berpuas hati wang mangsa dapat diserahkan.

Kejadian membabitkan dua kenderaan itu berlaku selepas Toyota Unser dipandu mangsa dari arah pusat bandar ke arah Kampung Medait dikatakan cuba memotong sebuah kereta lain sebelum bergesel dengan Toyota Vios dipandu wanita warga Brunei berusia 53 tahun.

Ia menyebabkan kenderaan mangsa bergesel lalu terbalik di bahu jalan.

264 dibaca
Berita Harian X