Sabtu, 2 Februari 2019 | 11:28am
DADAH yang dipercayai jenis heroin yang dirampas dari seorang lelaki disyaki pengedar dalam serbuan di tepi jalan Kampung Bendang Raja. - ihsan PDRM

Pengedar dadah ditahan ketika tunggu pelanggan

PENDANG: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan dalam serbuan di tepi jalan Kampung Bendang Raja, ketika menunggu pelanggan, lewat tengah malam tadi.

Lelaki berusia 43 tahun itu pada mulanya cuba lari tetapi gagal selepas ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, pada jam 12.15 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata berdasarkan risikan dan maklumat awam yang diterima, anggotanya berjaya mengesan pergerakan suspek di lokasi.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui tiga paket plastik lutsinar berisi serbuk ketulan disyaki dadah heroin seberat kira-kira 23 gram, alat penimbang digital, sebilah gunting dan lima paket plastik lutsinar kosong untuk membungkus dadah.

“Suspek berstatus duda dan tidak bekerja yang menetap di Pondok Tanah Merah, dekat sini, itu mempunyai 10 rekod jenayah termasuk dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati suspek positif morfin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arriz Sham berkata, walaupun pernah ditahan beberapa kali, suspek tidak serik dan dipercayai masih mengedar dadah untuk mengaut keuntungan mudah.

“Kami percaya suspek sudah menjual sebahagian dadah yang ada padanya sebelum pihaknya merampas 23 gram dadah bernilai RM600 itu,” katanya.

182 dibaca
Berita Harian X