Sabtu, 2 Februari 2019 | 9:40am
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Sadim Abdul (kanan) pada sidang media ketika menyertai operasi sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Terminal Bas Inanam, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Kenderaan JPJ dipasang kamera kesan kesalahan pengguna jalan raya

KOTA KINABALU: Semua kenderaan peronda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah akan dipasang dengan kamera bagi memudahkan agensi itu mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.

Pengarahnya, Sadim Abdul, berkata penggunaan kamera itu adalah sempena operasi Tahun Baharu Cina 2019 yang bermula 29 Januari lalu hingga 12 Februari ini.

“Kita akan menggunakan ‘dashboard camera’ atau kamera ‘GoPro’ yang akan dipasang pada kira-kita 50 kenderaan dan 10 motosikal peronda.

“Sehubungan itu, kita harap dengan adanya pemasangan kamera ini, pemandu atau pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati,” katanya pada sidang media selepas menyertai operasi JPJ sempena Tahun Baharu Cina di Terminal Bas Inanam di sini, malam tadi.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Sadim Abdul (kanan) melihat anggotanya melakukan pemeriksaan tayar bas ketika menyertai operasi sempena Tahun Baharu Cina 2019 di Terminal Bas Inanam, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Turut hadir, Timbalan Pengarah JPJ Sabah, Datuk Abdul Rahman Zakaria.

Sadim berkata, sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, pihaknya akan menempatkan anggotanya di kawasan yang telah dikenal pasti selama 16 jam sehari, bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam, manakala pada 5 dan 6 Februari, waktu operasi ialah 24 jam.

“Sempena operasi khas ini juga, kita telah membekukan cuti semua anggota bahagian penguatkuasaan seluruh Sabah bagi memastikan operasi berjalan lancar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sadim berkata, sebanyak 1,206 saman dikeluarkan JPJ Sabah sejak operasi berkenaan bermula 29 Januari lalu dengan antara saman paling banyak dikeluarkan ialah memandu tanpa lesen.

“Saya juga menasihatkan orang ramai supaya membawa dokumen seperti lesen memandu setiap kali menggunakan kenderaan dan paling penting memandu dengan berhati-hati bagi memastikan mereka sampai ke destinasi dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, Sadim menyertai pegawai dan anggotanya menjalankan pemeriksaan dokumen dan fizikal bas ekspres di Terminal Bas Inanam.

Berita Harian X