Jumaat, 1 Februari 2019 | 8:47pm

Bangkai ikan lumba-lumba terdampar di Pantai Cunang

KUALA LANGAT: Bangkai ikan lumba-lumba dipercayai spesis ‘Bottlenose’ ditemui terdampar di kawasan pokok paya bakau di Pantai Cunang, Tanjung Sepat di sini, jam 1 tengah hari tadi.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Sarimah Jamil, berkata perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya oleh sekumpulan nelayan di kawasan berkenaan.

“Saya dimaklumkan mengenai penemuan itu oleh sekumpulan nelayan Orang Asli yang mencari teritip ketika air laut surut pagi tadi.

“Penemuan bangkai ikan itu kali pertama setakat ini dan perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan,” katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan, Mohd Zaki Harun, berkata pihaknya akan ke lokasi berkenaan untuk mengambil sampel mamalia terbabit.

“Kebiasaannya, kita hanya ambil sampel kerana haiwan itu sudah mati dan bangkainya ditanam di lokasi berhampiran. Selepas ditanam dan ia sudah reput, kita akan mengorek semua untuk mendapatkan tulangnya.

“Di perairan Selat Melaka sememangnya ada ikan lumba-lumba bermain-main dan kemungkinan ia spesies sama iaitu ‘Bottlenose’,” katanya.

Kata Mohd Zaki, penemuan bangkai mamalia laut itu kali pertama dilaporkan di daerah ini.

Pada Mac 2005, Pantai Tanjung Rhu, Pulau Carey, dekat sini, secara tiba-tiba menjadi tumpuan penduduk tempatan berikutan penemuan bangkai seekor ikan paus yang terdampar di situ.

Ikan paus itu berukuran 12.8 meter panjang dan 2.8 meter lebar dan dipercayai daripada spesies paus Minke yang pernah dilihat di perairan New Zealand dan dipercayai tersesat ke perairan negara ini.

Berdasarkan kajian Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, terdapat sekurang-kurangnya lapan spesies mamalia laut di perairan Semenanjung Malaysia yang mempunyai masa depan yang tidak terjamin.

Antaranya, ikan lumba-lumba jenis Indo-Pacific Humpback, Irrawaddy, Finless, Bottlenose dan Long-Snouted Spinner.

Bangkai ikan lumba-lumba dipercayai spesis ‘Bottlenose’ ditemui terdampar di kawasan pokok paya bakau di Pantai Cunang. - Ihsan pembaca
Berita Harian X