Rabu, 30 Januari 2019 | 1:12pm
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun tersangkut pada saluran paip pembetungan najis ketika bermain bersama rakannya di kawasan tangga Flat Sri Titingan, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Budak 11 tahun cemas tersangkut celah saluran paip pembetungan

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cemas apabila tersangkut pada saluran paip pembetungan najis ketika bermain bersama rakannya kawasan tangga Flat Sri Titingan dekat sini, pagi tadi.

Akibat kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, kanak-kanak lelaki terbabit terpaksa menahan kesakitan selama lebih 20 minit akibat tersepit sebelum diselamatkan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin, ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 8.38 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati kaki kanak-kanak terbabit tersepit antara celah paip pembetungan najis dan dinding di Tingkat 4, Blok E bangunan flat berkenaan.

“Anggota bomba kemudian merenggangkan saluran paip itu dengan menggunakan peralatan pemotong hidraulik sebelum berjaya mengeluarkan kanak-kanak terbabit dengan selamat.

“Tiada kecederaan serius dialami kanak-kanak terbabit sebelum ahli keluarganya menghantarnya ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 8.52 pagi.

Berita Harian X