Isnin, 28 Januari 2019 | 4:16pm
ANGGOTA polis mengiringi Hayati Yaman (dua dari kanan) di Mahkamah Majistret Sibu, hari ini. - Foto Harun Yahya

Pengasuh didakwa bunuh bayi

SIBU: Seorang wanita didakwa membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di bawah jagaannya di Mahkamah Majistret Sibu, di sini hari ini.

Pendakwaan dibuat ke atas Hayati Yaman, 39, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Faizal Che Saad.

Tertuduh didakwa membunuh mangsa, Aariz Harraz Zahin pada 7 Januari lalu antara jam 5.45 pagi hingga 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Permai Jaya, di sini.

Rumah berkenaan adalah lokasi tertuduh menjalankan perkhidmatan mengasuh secara haram.

Tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh yang hanya mendiamkan diri ketika tuduhan dibacakan terhadapnya

Mahkamah Majistret Sibu kemudian menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian 7 Januari lalu, mangsa dikatakan berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai Jaya Sibu, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Bayi itu meninggal dunia 13 Januari lalu selepas hampir seminggu dalam keadaan kritikal di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sibu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit memberitahu keputusan bedah siasat mendapati bayi itu mati disebabkan kecederaan dalam kepala dan bengkak otak.

Katanya, kesan cedera itu konsisten dengan keadaan bayi yang digoncang dengan kuat dan bukan disebabkan jatuh atau penyakit.

895 dibaca
Berita Harian X