Sabtu, 26 Januari 2019 | 6:51pm
Gelagat seorang lelaki berbogel menunggang motosikal di tengah bandar Batu Pahat sehingga ke Kluang, iaitu kira-kira 50 kilometer, viral di media sosial, petang tadi.

Berbogel tunggang motosikal dari Batu Pahat ke Kluang

BATU PAHAT: Gelagat seorang lelaki berbogel menunggang motosikal di tengah bandar daerah ini sehingga ke Kluang, iaitu kira-kira 50 kilometer, viral di media sosial, petang tadi.

Kelakuan tidak senonoh lelaki dianggarkan berusia 30-an itu dirakam oleh beberapa pengguna jalan raya dalam keadaan tanpa seurat benang dan hanya memakai topi keledar dan selipar sambil ‘meronda’ bandar sehingga ke Kluang dengan menunggang motosikal.

Gambar lelaki terbabit turut dirakam dan viral serta dimuat naik di laman Facebook selain mendapat ratusan komen serta perkongsian.

Beberapa pengguna jalan raya yang terkejut dengan kelakuan lelaki berkenaan turut mendakwa sudah mendekatinya serta menegur tindakannya berbogel, malah menasihatkannya supaya segera pulang dan memakai pakaian.

Namun, pengguna jalan raya mendakwa lelaki berkenaan hanya tersenyum dan melambai-lambai tangan ke arah mereka semula tanpa rasa bersalah.

Pengguna jalan raya juga menyatakan lelaki berkenaan sudah tiba di Kluang dalam keadaan tanpa seurat benang dan beberapa kenderaan turut membunyikan hon kepadanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata polis sedang mengesan lelaki berkenaan sebaik menerima makluman awam.

“Kejadian berlaku kira-kira 4.15 petang tadi dan polis masih cuba mengesan lelaki ini kerana mengikut maklumat awam, dia menghala ke arah Ayer Hitam.

“Lelaki itu sudah tiba di Sri Lalang tadi, namun apabila dia ternampak anggota polis bertugas mengawal lalu lintas di kawasan itu, dia berpatah balik arah Ayer Hitam,” katanya ketika di hubungi hari ini.

Berita Harian X