Rabu, 23 Januari 2019 | 4:31pm
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, (tengah) membuat lawatan ke pameran mengenai Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 sambil ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Faizal Othman, (dua dari kanan) ketika Lawatan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli ke Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2. - Foto Azhar Ramli

Dr Xavier arah KSU Kementerian siasat isu guna aset kerajaan 

KUALA LUMPUR: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, sudah mengarahkan siasatan segera dilakukan berhubung isu penggunaan kereta pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan oleh timbalannya untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha kementeriannya (Datuk Zurinah Pawanteh) dipertanggungjawabkan untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

“Saya sudah meminta siasatan dalaman dilakukan kementerian dan mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian untuk mendapatkan butiran terperinci berkaitan dakwaan itu.

“Malah, Ketua Pengarah Perhutanan negeri Pahang diarah untuk menyiapkan laporan berkaitan.

“Dijangkakan ia dapat disiapkan tidak lama lagi, mungkin minggu depan (selepas PRK) dan sebarang tindakan atau keputusan bergantung kepada laporan yang diterima,” katanya kepada media selepas melawat Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 di Pantai Dalam, hari ini.

Sebelum ini, viral di media sosial gambar kereta pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan yang ditampal pelekat logo Pakatan Harapan (PH), dipercayai digunakan untuk berkempen pada PRK berkenaan.

Selain itu, sebuah video yang menunjukkan penginapan UMNO Rompin di Pos Lenjang didatangi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli merangkap Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, bersama beberapa individu.

Difahamkan, mereka tidak berpuas hati selepas tindakan jentera Barisan Nasional (BN) dikatakan ‘menangkap’ anggota PH menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen itu turut tersebar di media sosial

Video terbabit menunjukkan jentera BN bertelingkah dengan individu yang pakaiannya tertera logo PH itu bersama sebuah kenderaan yang mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di sebalik bendera Jalur Gemilang.

Sehubungan itu, calon BN, Ramli Mohd Nor, membuat laporan polis berkaitan dakwaan salah guna sumber kerajaan untuk kempen PRK terbabit.

Setiausaha kerajaan Pahang, Sallehuddin Ishak, sebelum ini mengesahkan mereka meminjamkan kenderaan untuk kegunaan rasmi Tengku Zulpuri.

Sallehuddin, bagaimanapun, mengarahkan kenderaan itu dipulangkan selepas ia didapati dilekatkan dengan bendera PH di Cameron Highlands.

Berita Harian X