Rabu, 23 Januari 2019 | 3:27pm
Seorang lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana mencederakan isterinya dan mengugut bunuh wanita itu dengan pisau. - Foto Hanneyzah Bariah Baharin

Minta hantar anak sekolah pun nak marah

KUALA TERENGGANU: Selepas hampir setahun bebas, seorang suami yang membelasah dan mengugut bunuh isterinya dengan pisau hanya kerana diminta menghantar anak ke sekolah, akhirnya ditangkap polis semalam.

Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu semalam, di sebuah rumah di Kampung Banggol Tok Jiring, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, selepas hampir setahun menghilangkan diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada 8 Februari tahun lalu di rumah mereka di Gong Badak, Kuala Nerus, suspek berusia 38 tahun dikatakan naik berang selepas isterinya meminta dia menghantar anak mereka ke sekolah.

Sumber berkata, permintaan isteri suspek menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka sehingga membawa kepada pertengkaran dan pergaduhan.

Kejadian menyebabkan suspek tiba-tiba memukul isterinya berusia 38 tahun dengan menampar muka, menumbuk kepala dan menendang bahagian belakang badan mangsa.

Katanya, kejadian menyebabkan isteri cedera di muka, telinga, kepala dan badan, sebelum suspek sekali lagi bertindak gila dengan mengambil pisau di dapur sambil mengugut mahu membunuh mangsa.

“Menyedari tindakan suaminya itu, mangsa segera melarikan diri ke luar rumah untuk menyelamatkan diri dan suspek yang tidak berpuas hati cuba mengejar suspek. Bagaimanapun mangsa berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Susulan kejadian itu mangsa yang bimbangkan keselamatan dirinya dan keluarga membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

Berikutan penahanan suspek, dia kini ditahan reman empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa.

2836 dibaca
Berita Harian X