Rabu, 23 Januari 2019 | 8:33am

SPRM tahan penolong pengarah universiti awam

SHAH ALAM: Seorang kakitangan awam berjawatan penolong pengarah di sebuah universiti awam (UA) di negeri ini ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan bernilai RM30,000.

Menurut sumber, selain lelaki berusia 42 tahun itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan seorang pembantu tadbir kanan berusia 47 tahun.

“Kedua-dua mereka ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada jam 10.45 malam tadi selepas mereka hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat menerima suapan bernilai lebih RM30,000 daripada pemilik syarikat pengiklanan sebagai balasan memilih dan mengesyorkan syarikat itu bagi kerja pembekalan dan percetakan di universiti itu,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.

3077 dibaca
Berita Harian X