Selasa, 22 Januari 2019 | 4:34pm
K Thinagaran didakwa di Mahkamah Majistret Taiping atas tuduhan mengedar dadah jenis metaphamine seberat 569.5 kilogram pada 12 Januari lalu. - NSTP/Muhaizan Yahya

Peniaga besi buruk didakwa edar 569.5kg syabu

TAIPING: Seorang peniaga besi buruk didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 569.5 kilogram, 12 Januari lalu.

K Thinagaran, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan parkir di Kilometer (KM) 213, Hentian Rehat Taiping, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, jam 5.30 petang, hari berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh tidak boleh diikat jamin kerana kes itu mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya dan menetapkan 1 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan rakaman keterangan percakapan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azrul Faidz Abd Razak, manakala tertuduh diwakili peguam, Charan Singh.

Pada 14 Januari lalu , Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam sidang medianya dilaporkan berkata polis mematahkan cubaan menyeludup syabu bernilai RM28.47 juta yang diangkut menggunakan sebuah lori kontena dan menahan tiga lelaki di Perak dalam tempoh tiga jam bermula 4 petang, hari berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata lori kontena yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun itu ditahan anggota polis dan dibantu Peronda Lebuh Raya Expressway Mobile Patrol Vehicle (EMPV) di hentian berkenaan ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Pulau Pinang.

Lori kontena yang dipercayai dari Lembah Klang itu ditahan selepas didapati dipandu dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan menemukan 569.5 kilogram dadah dipercayai syabu.

Beliau berkata, hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, polis melakukan serbuan di sebuah premis di Ipoh dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu, manakala satu lagi tangkapan pada hari sama membabitkan lelaki warga tempatan berusia 39 tahun di Plaza Tol Bidor.

Polis percaya syabu berkenaan adalah untuk diseludup ke pasaran antarabangsa.

726 dibaca
Berita Harian X