Selasa, 22 Januari 2019 | 3:08pm
nggota polis mengiringi suspek wanita kes dera berusia 39 tahun untuk menyambung tempoh reman tujuh hari lagi di Mahkamah Majistret Sibu. - Foto Harun Yahya

1 lagi laporan polis dibuat terhadap pengasuh Ariz

SIBU: Satu lagi laporan polis dibuat ke atas suspek kes dera dan bunuh bayi lelaki, Ariz Harraz Zahin, sembilan bulan, semalam membabitkan seorang lagi kanak-kanak di bawah jagaannya sebelum ini.

Laporan itu dibuat seorang wanita selepas mengesyaki kecederaan dialami anak lelakinya pada Ogos 2017 disebabkan kecuaian pengasuh dan bukannya disebabkan kemalangan seperti didakwa suspek.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, ketika dihubungi mengesahkan guru berusia 40 tahun itu membuat laporan polis sejurus kes kematian Ariz membabitkan bekas pengasuh anak lelakinya mendapat liputan meluas media.

“Kejadian berlaku pada 15 Ogos 2017 selepas guru itu mengambil anaknya dari rumah pengasuh. Pengasuh (suspek) itu memberitahu anaknya itu terjatuh ketika dimandikan kerana tangannya licin.

“Pada malam hari kejadian, bayi itu kemudiannya didapati lemah dan menangis selain turut muntah selepas diberi susu. Ketika itulah ibunya mendapati ada kesan lebam di kepala sebelah kanan anaknya,” katanya.

Ibu mangsa kemudian membawa anaknya membuat pemeriksaan di sebuah klinik pakar kanak-kanak swasta keesokan harinya.

“Doktor pakar berkenaan mengesan terdapat retakan di kepala kanak-kanak itu lalu menasihatkan bayi itu dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Laporan doktor yang merawat bayi itu mengesahkan bayi itu retak di tempurung kepala sebelah kanan dan kecederaan di bahagian otak,” katanya.

Stanley berkata, bayi itu yang kini berusia setahun lapan bulan kini sudah beransur pulih susulan kejadian berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa masih perlu dirujuk ke doktor untuk pemeriksaan susulan. Ketika kejadian, tiada laporan polis dibuat kerana ibu mangsa beranggapan pengasuh itu tidak sengaja,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

871 dibaca
Berita Harian X