Isnin, 21 Januari 2019 | 10:18pm
MAYAT seorang lelaki lengkap berpakaian ditemui di Jalan Besar FELDA Tenggaroh, petang tadi. - Foto Ihsan pembaca

Mayat mangsa langgar lari ditemui

MERSING: Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemui di Jalan Besar FELDA Tenggaroh, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang tadi, mangsa, Ahmad Hazizi Ismail, 40, ditemui di kawasan jalan besar berkenaan.

“Mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 40 tahun dari FELDA Tenggaroh 5 dipercayai mangsa kemalangan langgar lari.

“Mangsa ditemui oleh anggota polis bantuan FELDA Tenggaroh, dekat sini, kira-kira jam 4 petang dan mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Cyril berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing bagi proses bedah siasat.

“Tiada saksi nampak (berapa lama mayat berada di kawasan itu). Namun, keadaan mayat mangsa dianggarkan tidak sampai sehari.

“Orang ramai atau saksi kejadian kes langgar lari diminta tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

4238 dibaca
Berita Harian X