Isnin, 21 Januari 2019 | 6:15pm
Penduduk kampung melihat tempat Muhammad Danish Iman terjatuh di Sungai Ketil, berdekatan Kampung Bawah Gunung. - NSTP/Safuri Kamarudin

Budak 15 bulan lemas

BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tiga bulan ditemui lemas selepas terjatuh di Sungai Ketil, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Muhammad Danish Iman Zefry dipercayai tergelincir dari tebing sungai kira-kira lima meter dari rumahnya sebelum ditemui tersangkut di pokok buluh.

Kakak mangsa, Nur Delisya Zulaikha, 9, berkata dia yang sedang bermain dengan abang, Muhamad Danish Fitri, 10, dan adik, Nurdania Maisara, 3, tidak menyedari mangsa keluar dari rumah.

“Kami terus mencari di sekitar rumah dan kawasan tebing sungai tetapi tidak ditemui.

“Ketika ramai jiran mencari di rumah berdekatan tiba-tiba ada penduduk menjerit menemui adik di dalam sungai dan tersangkut pada pohon buluh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bawah Gunung, hari ini.

Nur Delisya Zulaikha berkata, emaknya Miss Mariyae Awang, 37, keluar bekerja sebagai pembantu kedai di Pekan Baling, manakala ayahnya, Zefry Puteh, 35, berada di dalam rumah.

Seorang penduduk, Mohd Yusuf Md Rejab, 55, berkata dia sedang mandi bersama anak-anaknya kira-kira 100 meter dari rumah kanak-kanak berkenaan.

“Saya kemudian terkejut secara tiba-tiba timbul mayat kanak-kanak di pokok buluh sebelum segera mengangkatnya tetapi mangsa sudah kebiruan dan tidak bernyawa.

“Dalam situasi itu, saya melaungkan azan dengan kuat dan menjerit meminta pertolongan dari penduduk kampung sebelum mereka menghantar mangsa ke Hospital Baling untuk bantuan kecemasan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Berita Harian X