Ahad, 20 Januari 2019 | 10:16pm
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. - NSTP/Azhar Ramli

Mohamad akan hantar notis tuntutan kepada KJ

GEORGETOWN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melalui peguam peribadinya akan menghantar notis tuntutan kepada Khairy Jamaluddin dalam tempoh terdekat berhubung kenyataan Ahli Parlimen Rembau hari ini yang didakwa memfitnah.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar, berkata ia susulan kenyataan berunsur fitnah oleh Khairy yang mendakwa Mohamad menggunakan jentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Katanya, Khairy didakwa membuat kenyataan itu pada sidang media di Kampung Orang Asli Sungai Ruil, Brinchang dekat Cameron Highlands, hari ini.

"Ia dilaporkan portal atas talian Malaysiakini dalam berita berbahasa Inggeris bertajuk ‘KJ: It's clear, Harapan doesn't practice what it preaches on gov't asset use’ dan berita berbahasa Melayu bertajuk ‘PH cakap tak serupa bikin, guna jentera k'jaan – KJ’.

"Khairy Jamaluddin terus mengeluarkan kenyataan fitnah ini walaupun Kementerian Pertahanan sudah pun menjelaskan mengenai perkara ini dalam satu kenyataan pada 15 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Selasa lalu, Kementerian Pertahanan menafikan gambar tular memaparkan Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen pada PRK Cameron Highlands dengan kedua-dua gambar itu berlaku pada hari dan tarikh berlainan.

4818 dibaca
Berita Harian X