Ahad, 20 Januari 2019 | 4:55pm

Dera anak tiri, tukang rumah dipenjara 20 tahun

KUALA TERENGGANU: Seorang tukang rumah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan mendera anak tirinya berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak terbabit pada Jun 2017.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas tertuduh, Rosmanan Abdul Rahman, 41, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman di Felda Tenang, Jerteh, Besut antara 25 hingga 28 Jun 2017.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Rohaiza Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Aziz & Co.

Dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa tertuduh untuk mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Daerah Besut dengan tertuduh memberi alasan mangsa terjatuh daripada motosikal.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mendapati punca kematian mangsa tidak konsisten dengan keterangan suspek.

Kematian mangsa disahkan berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus kecil.

Selain itu, mangsa turut mengalami beberapa kesan lebam lama dan baharu pada badan.

236 dibaca
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan mendera anak tirinya berusia lima tahun. - Foto Ghazali Kori
Berita Harian X