Ahad, 20 Januari 2019 | 4:39pm
KETUA Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Polis akan panggil mufti, jawatankuasa kariah

KANGAR: Polis akan memanggil Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Jawatankuasa Kariah Kampung Syed Ali dalam masa terdekat bagi membantu siasatan selepas laporan polis dibuat ke atas Mohd Asri.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd, ketika dihubungi berkata, polis akan panggil pengadu dan mufti bagi mendapatkan penjelasan berkaitan isu berkenaan.

Sebelum ini, Mohd Asri mendakwa 25 imam baru yang dilantik di kariah negeri itu menerima ugutan sihir daripada ahli kariah Kampung Guar Syed Alwi berhubung pemecatan imam lama awal bulan ini.

Berikutan itu, ahli kariah terbabit membuat satu laporan polis bagi menggesa Mohd Asri menarik semula tuduhan terbabit yang didakwa berlakunya salah faham ketika perkara terbabit berbangkit dalam perbincangan antara mereka sebelum ini.

Mengulas lanjut, Noor Mushar berkata pihaknya akan membuka satu kertas siasatan sekiranya laporan polis terbabit bersesuaian dengan proses perundangan negara.

“Itu sudah pasti (siasatan terperinci) sekiranya laporan itu menepati prosedur perundangan.

“Jadi kita harap kedua belah pihak dapat mengurangkan ketegangan yang melanda bagi memastikan proses siasatan berjalan dengan lancar,” katanya.

886 dibaca
Berita Harian X