Sabtu, 19 Januari 2019 | 11:55pm
PENGARAH Bahagian Operasi dan Pendakwaan Imigresen, Saravana Kumar - Foto Fakhrul Abid Saifuddin

Empat lelaki menyamar anggota Imigresen ditahan

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan empat lelaki kerana menyamar sebagai anggota jabatan itu dan disyaki meminta suapan daripada majikan yang menggajikan pekerja asing, semalam.

Keempat-empat suspek yang ditahan Unit Operasi, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Imigresen itu berusia antara 27 tahun hingga 34 tahun.

Pengarah Bahagian Operasi dan Pendakwaan Imigresen, Saravana Kumar, berkata mereka ditahan di Putrajaya selepas berurusan dengan seorang majikan dipercayai bagi melepaskan pekerja asing yang ditahan mereka.

Katanya, hasil siasatan mendapati keempat-empat suspek berkenaan yang turut menggunakan gari serta seragam Imigresen menjalankan operasi haram dengan menangkap pekerja asing.

“Suspek kemudian meminta suapan daripada majikan pekerja asing berkenaan sebagai bayaran untuk melepaskan mereka.

“Kami percaya keempat-empat suspek sudah beberapa kali menjalankan kegiatan berkenaan dengan menyasarkan pekerja asing yang bekerja di kedai runcit.

“Sebaik menahan pekerja asing atas kesalahan tertentu, suspek akan menghubungi majikan mereka yang diarahkan berjumpa di kawasan sekitar bangunan JIM bagi urusan pelepasan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Saravana berkata, tindakan suspek berjumpa di kawasan sekitar luar bangunan Imigresen bertujuan memperdaya mangsa bahawa mereka adalah anggota bertugas di situ.

Katanya, semua suspek yang ditahan sudah diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

“Dalam setiap operasi penguatkuasaan Imigresen, ketua operasi perlu memperkenalkan diri serta mengemukakan kad kuasa kepada pemilik atau penghuni premis sebelum pemeriksaan dijalankan.

“Malah, tiada istilah bayaran kompaun atau denda diminta atau dikenakan oleh pegawai operasi di lapangan.

“Jadi, jika berlaku perkara seperti ini, kami nasihatkan agar orang ramai menyalurkan maklumat kepada Imigresen atau polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Saravana meminta orang ramai, terutama majikan agar tidak melindungi atau menggajikan warga asing tanpa permit sah.

Katanya, tindakan itu membuka ruang serta peluang kepada kes penyamaran dan pemerasan seperti dilakukan keempat-empat suspek berkenaan.

1662 dibaca
Berita Harian X